CONTOH KARANGAN FAKTA FAKTA TAHUN 5
Apakah karangan fakta ?
Karangan jenis ini meminta murid mendapatkan pendapat, saranan dan idea terhadap sesuatu tajuk. (antara jenis karangan yang popular diuji dalam UPSR / PPSR )
Kunci soalan bagi karangan fakta biasanya memerlukan calon menulis karangan tentang faedah, kebaikan, kepentingan dan cara-cara.
Setiap perenggan memerlukan idea yang berlainan dan murid perlu menghuraikan isi terlebih dahulu, kemudian diikuti huraian yang berbentuk contoh dan kesan.
Gunakan bahasa yang tepat dan elakkan daripada menggunakan bahasa berbunga-bunga seperti karangan berbentuk cerita.
Berikut adalah salah satu daripada contoh karangan fakta untuk rujukan para guru dan murid.
Arahan: tulis karangan berdasarkan soalan di bawah. Panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
Soalan: Masa lapang boleh dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Tulis sebuah karangan tentang aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang dengan berfaedah.
Jawapan Contoh :
Masa senggang merupakan masa yang amat berharga. Masa yang telah berlalu tidak dapat digantikan semula. Oleh itu, kita perlu merancang aktiviti seharian dengan bijak supaya masa tidak terbuang dengan sia-sia.
Antara aktiviti yang boleh kita lakukan untuk mengisi masa lapang dengan berfaedah adalah dengan menceburi hobi yang mendatangkan manfaat kepada kita. Misalnya hobi mengumpul setem, wang syiling dan lencana. Masa yang digunakan untuk aktiviti begini akan meningkatkan pengetahuan kita dan juga menambahkan kenalan baru.
Masa yang terluang juga boleh diisi dengan aktiviti bersukan dan beriadah. Banyak aktiviti sukan yang boleh dilakukan seperti berjoging, bermain futsal dan bermain badminton. Melalui aktiviti ini badan kita akan berpeluh dan menjadi sihat.
Selain itu, kita boleh mengisi masa lapang dengan melawat tempat-tempat yang penting dan bersejarah. Contohnya, kita boleh melawat muzium, zoo dan pusat sains. Tempat-tempat begini boleh mendatangkan faedah dan bermanfaat kepada kita khususnya memberikan informasi yang berguna.
Di samping itu, masa yang terluang juga boleh diisi dengan aktiviti membaca. Banyak bahan bacaan yang sesuai boleh kita baca misalnya buku cerita, majalah dan novel. Aktiviti begini boleh menambah ilmu pengetahuan dan mematangkan minda kita, Kesimpulannya, masa yang terluang mesti digunakan dengan bijak. Kita mesti melatih diri supaya dapat menguruskan masa dengan baik dan oleh itu masa tidak akan terbuang begitu sahaja.
0 Comments